Sunday, August 8

Bab 1

KAMPUNG TERANG. Itulah nama kampung yang dijejakinya.

‘Apa ke pelik nama kampung. Ni mesti kes dah takde nama nak letak lagi dah ni,’ bisik hatinya, bila dia terpaksa pergi ke kampung tersebut atas sebab membacakan wasiat salah seorang penduduk kampung tersebut. Begitulah rutinnya sejak dia menjadi peguam di sebuah firma guaman yang terkemuka 5 bulan yang lalu.

Dia kemudian menghentikan kenderaannya di sebuah warung yang dihiasi dengan pemandangan sawah yang luas terbentang. Cantik, walaupun dia ke situ bukan pada musim menuai padi.

“Assalamualaikum”, ucapnya.

“Waalaikumussalam. Anak nak minum ke makan?”jawab seorang lelaki yang agak berusia di warung itu dalam loghat utaranya. Mungkin lelaki itulah pemilik warung tersebut.

“Tak, saya ke sini nak tumpang tanya. Alamat rumah ni dekat mana ya?” soalnya sebaik sahaja mengeluarkan sekeping kertas kecil lalu diberikan kepada pemilik warung itu. Pemilik warung itu meneliti alamat yang tertera pada kertas kecil itu. Nyata penglihatannya masih lagi jelas meskipun sudah agak berumur.

“Oh, anak cari alamat rumah ni ya. Jalan nak ke sana susah sikit. Apatah lagi kalau naik kereta. Nak masuk ke rumah tu hanya motor yang boleh masuk,” jawab pemilik warung itu.

“Maknanya kalau saya ke sana kena berjalan kakilah,”balas lelaki itu.

“Memang gayanya kena begitulah. Tapi anak boleh letak kereta sebelum nak masuk jalan tu. Kalau dari sini memang dah dekat rumah yang anak cari tu. Kebetulan pulak waktu-waktu macam ni si Dani mai sini beli makan, apa kata anak tunggu aja dia kat sini. Dia tinggal kat rumah tu. Sat gi sampailah dia,” kata pemilik warung itu.

“Lupa pulak nak tanya. Nama anak ni siapa?” soal pemilik warung itu.

“Oh, ini kad saya,” katanya sambil menghulurkan kadnya. Pemilik warung itu meneliti namanya.

“Faeiz..rule? Raeizmy? Susahnya nama,” itulah perkataan yang disebut oleh pemilik warung itu sebaik sahaja membaca nama pada kad tersebut.

“Panggil Faeiz je, pakcik…,”

“Panggil Pak Tam ja. Pelik nama hang ni na,” kata Pak Tam.

“Takda susahnya, Pak Tam. Ejaanya saja yang membuatkan orang susah nak sebut nama saya. Tapi panggil Faeiz je,” balas Faiez.

“Bagus hang ni, kerja peguam na,” kata Pak Tam. Faiez mengangguk.

“Baru je 5 bulan,” tambah Faiez.

“Macam nilah, Faeiz. Sementara tunggu si Dani datang ni, pesanlah apa-apa dulu. Minum ke?” balas Pak Tam.

“Bagi saya Milo Ais satu,” pinta Faeiz.

“Makan?” soal Pak Tam.

“Tak pelah,” jawab Faeiz. Pak Tam mengangguk dan terus membuat minuman yang telah dipesan oleh Faeiz. Tidak sampai 2 minit air yang dia pesan sudahpun sampai.

Dalam menikmati minumannya bagi menghilangkan lelahnya setelah seharian berjalan dari Kuala Lumpur ke kampung itu selama lebih kurang 5 jam setengah, terdengar bunyi bingit motor dari jauh memecahkan hening suasana damai kampung itu.

“Hah, bunyi bingit tu motor si Dani lah tu,” ngomel Pak Tam sambil memerhatikan motor itu dari jauh. Semakin lama semakin dekat dan semakin kuat deruman enjin motor. Faeiz juga turut sama melihat motor yang sudah semakin dekat dengan warung Pak Tam. Motor itu akhirnya berhenti betul-betul di hadapan warung Pak Tam.

“Pak Tam!” jerit orang yang membawa motor itu. Helmetnya dibuka sebaik sahaja tiba di warung Pak Tam. Rambut pendek, berpakaian seperti lelaki, sayang dia seorang perempuan. ‘Tomboi rupanya,’ bisik hati kecilnya.

“Fuiyoo..lawanya kereta. Fuh.. BMW! Berkilat, silau mata. Kereta sapa ni Pak Tam? Tak pernah tengok pun. Nombor plat pun bukan dari sini,” tanya Dania sambil mencalit jarinya pada kereta kepunyaan Faeiz. Faeiz hanya memandang. Risau dibuatnya sekiranya terjadi apa-apa pada kereta itu.

‘Hish, tomboi ni! Kalau jadi apa-apa kat kereta aku, siaplah kau. Main calit-calit pulak tu. Memang kurang sopan betullah!’ bisik Faeiz sendirian sambil merenung tajam ke arah Dania.

“ Memanglah kereta tu bukan orang sini punya Dani oii… Tu ha… budak lelaki tu yang punya. Dia habaq nak mai rumah hang nak tanya pasai wasiat tu. Sat gi hang pi bawak dia. Nah macam biasa hang,” kata Pak Tam yang seakan sudahpun tahu apa yang ingin dipesan oleh Dania.

“Uih, awat cepat sangat Pak Tam buatnya. Orang baru ingat nak order lain. Asyik makan yang sama ja,” balas Dania sambil melihat isi dalam bekas polisterin yang diberi oleh Pak Tam.

“Dah tu, hang asyik mintak benda yang sama ja. Malas aku nak tanya hang lagi. Hang ni pun satu. Kat rumah hang tu dah takda makanan ke sampai kena pi warung sangat,” bebel Pak Tam.

“Alah, Pak Tam! Kalut sangat le… Sekali-sekala beli kat luaq tak salah kan…Pak Tam jugak yang untung…” balas Dania sambil ketawa berdekah-dekah. Gayanya tidak ubah seperti siri kartun Shin Chan.

“Lantak hang la, nak makan mana…mana duit? Takkan nak pi macam tu ja?” soal Pak Tam sambil menghulurkan tangannya ke Dania.

“Sabaqlah! Duit tak lari manalah!” kata Dania sambil mengeluarkan wangnya di poket lalu diberikan kepada Pak Tam.

“Aku taulah duit tu takda kaki. Tapi hang tu yang buatkan duit tu ada kaki. Belum bayaq dah lari. Lama-lama aku yang bangkrap, pasai hang tak bayaq! Hang jangan lupa bawak si Faeiz tu pi rumah hang,” arah Pak Tam sebaik sahaja dia menerima wang daripada Dania. Kebetulan Faeiz sudahpun habis minum air yang dipesannya tadi.

“Bukan sayalah yang lari. Yang selalu nak lari tu ha..si Achoi sengal tu. Saya budak baik, hari-hari bagi duit kat Pat Tam. Hah, bro, jom le…tunggu apa lagi. Ikut aku dari belakang..cepat sikit! Lembap betul kau ni macam perempuan!” marah Dania sambil memakai helmet dikepalanya. Faeiz mengomel sendirian.

‘Suka hati panggil aku macam perempuan! Tak tahu ke aku ni jauh-jauh nak datang rumah kau? Habis, kau tu bukan perempuan ke?!’ marahnya sambil masuk ke dalam BMWnya.

Kedengaran bunyi deruman enjin motor yang baru sahaja dihidupkan oleh Dania dan Faeiz hanya memerhatinya dari dalam kereta. Belumpun sempat memakai tali pinggang keledar, Dania sudahpun memecut laju motornya dan meninggalkan Faeiz yang berada di dalam kereta di belakang.

“Belum sempat apa-apa dia dah pecut?! Tak boleh jadi ni!” kata Faeiz sendirian. Dia terus menekan minyak dan mengekori Dania seboleh mungkin agar kelibat motor yang dinaiki oleh Dania dapat kelihatan dari pandangannya.


----------


SEBAIK sahaja tiba di jalan yang sudahpun semakin sempit, Dania berhenti dan memerhatikan Faeiz yang mengikutinya dari belakang. Faeiz kemudian keluar dari keretanya dan mengunci keretanya selepas dia mengambil dokumen-dokumen yang penting yang ingin dibincangkan sebentar lagi.

“Hah, tunggu apa lagi tu? Cepatlah naik, takkan nak jalan kaki pulak?” arah Dania yang sudah lama bersedia. Faeiz hanya menurut. Dia terus duduk di tempat duduk belakang.

“Jangan pegang kuat sangat,” pesan Dania sebaik sahaja mereka melalui jalan yang sedikit rosak.

Lima minit kemudian mereka akhirnya tiba di rumah Dania setelah mereka melalui jalan yang sempit serta berlopak. Faeiz terus turun dari motor Dania sebaik sahaja diperintah oleh gadis itu. Faeiz kemudian melihat keadaan sekeliling rumah itu. Terasa aman, tenang bagaikan tiada hiruk-pikuk, yang ada menemani hanya bunyi unggas dan burung yang bersahut-sahutan antara satu sama lain.

“Woi, apa pasal berdiri je kat situ? Nak jadi tugu bersejarah ke kat situ? Boleh kalau kau nak free, jadi tanggang boleh?” sindir Dania yang sudahpun melangkah masuk ke rumahnya itu. Faeiz terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah itu.

‘Haish..penuh dengan ‘sopan-santun’ sungguh pompuan ni. Tak padan dengan pompuan!’ ngomel Faeiz.

“Assalamualaikum,” ucap Faeiz sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah itu sambil matanya mencari-cari tuan rumahnya.

“Waalaikumussalam. Ye nak cari siapa?” soal wanita yang baru sahaja keluar dari ruang dapur yang terletak hujung dari rumah yang boleh dilihat dari ruang tamu rumah itu. Wajah wanita itu seiras Dania tetapi perwatakannya lebih kepada seorang wanita melayu, tidak seperti Dania.

“Saya Faeiz, ini kad saya. Saya dah diamanahkan oleh majikan saya untuk datang ke sini mengenai Encik Ahmad Tajudin,” ujar Faeiz sambil memperkenalkan dirinya kepada wanita yang kini sudahpun berada di hadapannya.

“Ya, Ahmad Tajudin tu ayah saya. Arwah ada apa-apa masalah ke?”soal wanita itu setelah dia meneliti kad Faeiz.

“Tak..tak… Arwah takda apa-apa masalah. Saya datang ni pasal wasiat arwah. Saya ada hal yang nak saya bincangkan pada cik,” kata Faeiz.

“Oh, saya ingatkan pasal saman tadi,” balas wanita itu.

‘Haish, dia ni…asal peguam datang mesti ingat pasal saman je’ bisik hati kecilnya.

“Saya Kamelia, anak kedua arwah. Encik Faeiz duduk dulu, saya pergi buatkan air,” ajak Kamelia. Dia terus masuk ke dapur dan menghidangkan minuman kepada tetamunya.

Faeiz duduk dan hanya memerhati sekeliling dalam rumah itu. Tidak seperti rumah kampung yang biasa, tetapi ia seperti rumahnya di Kuala Lumpur. Mungkin keluarga mereka di kalangan keluarga yang agak berada sepertinya. Rumahnya masih lagi kelihatan baru sahaja dibina, tidak ada satu kotoran pun pada dindingnya.

Dia seakan tertarik melihat foto-foto yang berada di atas rak yang disusun kemas, dia bergegas ke situ. Kelihatan ia adalah foto-foto keluarga itu. Dalam banyak-banyak foto yang dilihatnya, dia tertarik dengan foto seorang gadis yang baginya sangat ayu dimatanya, sedap matanya memandang.

“Encik Faeiz?” panggil Kamelia, langsung dia tidak sedar sejak bila wanita itu sudah berada di ruang tamu itu. Wanita itu turut menghampiri Faeiz yang berada di rak yang penuh dengan foto itu. Dia turut melihat gambar yang dipegang oleh Faeiz.

“Ini Dania, yang bawak encik datang ke sini naik motor tadi,” kata Kamelia. Faeiz agak sedikit terkejut. Lain benar wajahnya dari foto dan pada secara hakikatnya, bagi Faeiz, Dania berperwatakan seperti lelaki dan langsung tidak kelihatan ciri-ciri perempuan melayu seperti Kamelia.

“Ni gambar lama, masa arwah masih ada. Jemput minum, Encik Faeiz,’ pelawa Kamelia yang sudahpun menuang air teh ke dalam cawan.

“Ada apa hajat encik datang ke mari ni?” soal Kamelia sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya ke sofa.

“Saya cuma nak beritahu pada cik tentang pembahagian wasiat arwah Encik Ahmad Tajudin,” jawab Faeiz setelah dia menghirup sedikit teh yang disediakan oleh Kamelia.

“Bila encik nak buat tu?” soal Kamelia.

“Kalau boleh secepat yang mungkin. Kalau boleh hari ni, saya sanggup,” kata Faeiz.

“Oh, kalau hari ni tak bolehlah, encik Faeiz. Ramai ahli keluarga yang tak ada. Mereka semua duduk berasingan. Yang tinggal di sini hanya saya, abang saya, suami saya dengan Dania saja,” ujar Kamelia.

“Boleh tak cik berikan alamat adik-beradik cik yang lain supaya senang saya hantar surat kepada mereka dan mereka hadir dalam hari tersebut,” pinta Faeiz.

“Boleh, tunggu kejap ya. Saya pergi ambil alamat mereka,” kata Kamelia lalu mengambil sebuah buku dan mengambil sekeping kertas serta pen. Dia menulis kesemua alamat adiknya yang lain untuk diberikan kepada Faeiz.

“Nah, ni alamat mereka,” kata Kamelia sambil memberikan sekeping kertas yang telahpun ditulis dengan alamat adik-beradiknya yang lain kepada Faeiz.

“Terima kasih ya, cik. Saya akan hantar surat kepada ahli keluarga cik yang lain dalam masa terdekat ni,” kata Faeiz sambil melihat senarai alamat adik-adik Kamelia lalu disimpan di dalam briefcasenya.

Pada masa yang sama, Dania keluar dari biliknya lalu mengambil helmetnya. Mungkin dia ingin keluar lagi.

“Hah, nak pergi mana tu? Kalau satu hari tak keluar tak boleh ke? Ni tak, tak pernah lekat kat rumah ni. Kau tu perempuan, buatlah cara orang perempuan. Jangan jadi macam lelaki. Apa nak jadi dengan kau ni, Nia?” leter Kamelia sebaik sahaja melihat adiknya itu melangkah keluar dan menyarungkan seliparnya.

Kelihatan Dania mencebik dan mengajuk cara percakapan kakaknya itu. Jelas dia tidak suka dia dileteri begitu.

“Asal orang cakap bukan didengarnya. Melawan pulak tu!” marah Kamelia. Jelas dia kecewa dengan sikap adiknya yang tidak ubah seperti lelaki. Keluar ikut suka hati.

“Eeee…bising tau tak! Bising! Bebel je pagi petang tengahari malam subuh, takde nak berhenti pun. Benda yang sama, benda yang sama! Eh, naik muak tau tak!” tengking Dania. Faeiz hanya melihat gelagat kedua adik beradik itu.

“Habis tu, tak pernah nak berubah. Buat lagi benda yang sama, macam mana akak tak naik angin?! Kau tu, berubahlah! Sampai bila nak macam ni?” tanya Kamelia.

“Sampai mati!” jerit Dania lalu terus menghidupkan enjin motornya dan berlalu begitu sahaja.

“Dania!” panggil Kamelia dengan sekuat hati sambil keluar dan cuba untuk memanggil adiknya kembali, tapi hanya sia-sia. Kelihatan raut wajahnya berbaur kesalan dan kekecewaan terhadap sikap adiknya yang langsung tidak mahu berubah.

“Erm…cik Kamelia..” panggil Faeiz yang teragak-teragak bimbang melihat emosi Kamelia yang masih belum reda. Kamelia memandangnya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, lebih baik saya pulang dulu,” pinta Faeiz. Kamelia hanya mengangguk, wajahnya masih lagi lesu.

“Baiklah, encik Faeiz. Biar saya teman encik sampai ke luar,” kata Kamelia. Sedang menyarungkan kasutnya kembali di hadapan pintu rumah Kamelia, muncul 2 orang lelaki yang baru sahaja masuk ke laluan rumah itu. Kamelia pantas mendapatkan salah seorang daripadanya dan mencium tangan lelaki tersebut.

“Assalamualaikum,” ucap salah seorang daripadanya.

“Waalaikumussalam,” balas Kamelia dan Faeiz serentak. Mereka saling berbalas senyuman.

“Ada apa ni?” soal lelaki yang tangannya dicium oleh Kamelia.

“Oh, ni encik Faeiz. Dia datang pasal wasiat arwah ayah,” jawab Kamelia. Mereka berdua hanya mengangguk.

“Saya Tahir, abang Kamelia. Yang ini pula Sufian, suami Kamelia,” kata lelaki yang bernama Tahir. Faeiz, Sufian dan Tahir saling bersalaman tanda perkenalan.

“Dah nak balik ke?” soal Sufian. Faeiz mengangguk.

“Ha’ah, lagipun saya tak boleh nak jalankan pembacaan wasiat arwah Encik Ahmad Tajudin buat masa ni sebab ahli keluarga encik masih lagi tidak cukup untuk saya teruskan pembacaan tu. Jadi terpaksalah saya lakukan pada hari yang lain. Insya-Allah, selepas saya sudah menghantar surat kepada semua ahli keluarga encik barulah saya boleh buat pembacaan tu,” ujar Faeiz.

“Biarlah kami hantar encik sampai ke luar,” pinta Sufian. Faeiz mengangguk sambil memberikan senyuman dan ia dibalas oleh mereka bertiga. Mereka kemudian berjalan beriringan sehingga di tempat Faeiz meletakkan keretanya.

Seperti suatu yang tidak kena pada kereta Faeiz. Tayarnya sudah dipancitkan. Bukan satu dan bukan dua, tetapi keempat-empat tayar kereta Faeiz sudah dipancitkan.

“Macam mana nak balik ni? Tayar ganti pun cuma satu je,” ngomel Faeiz.

“Ni tak lain tak bukan kerja adik kaulah ni!” marah Tahir sambil memandang adiknya yang berada di sebelahnya.

“Adik Lia, adik abang jugak,” balas Kamelia sambil membalas pandangan abangnya itu.

“Mesti awak marahkan dia lagi kan?” soal Sufian.

“Habis tu, dia pergi macam tu aje, keluar masuk kat rumah ni ikut suka hati dia aje. Kalau dia lelaki tu saya boleh terima lagi, dia tu perempuan, macam mana saya tak marah dia, bang?” balas Kamelia.

“Dah tahu adik awak tu memang tak suka dimarah, kenapa awak marah jugak. Tengok, sekarang kereta budak ni pulak yang jadi mangsa. Dia takde kena mengena pun,” kata Sufian sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Kamelia tunduk diam.

“Macam nilah, encik Faeiz. Malam ni apa kata encik tidur di rumah kami dulu. Kalau nak pergi ke kedai mekanik ke kedai tayar ke apa memang tak adalah, semua dah tutup. Lagipun dah lewat petang dah ni. Esok pagi sajalah kita pergi ke sana,” cadang Tahir. Faeiz kelihatan agak keberatan, tapi memandangkan kampung tersebut mempunya kemudahan yang sangat terhad, maka terpaksalah dia bersetuju untuk bermalam di rumah keluarga Tahir untuk malam itu.

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template