Thursday, November 11

Bab Empat

ENTAH apalah agaknya difikiran Cikgu Fauzan sekarang ini kesemua pelajar 5 Sastera 2 pada hari ini memang sukar untuk difahami, termasuklah Tiara Dalilah.

 
“Okey, hari ni saya nak awak buat karangan tentang cita-cita saya sebagai latihan awak di rumah. Saya nak tahu jugak cita-cita kamu,” kata Cikgu Fauzan. Semua pelajar bising. Bagi mereka ia karangan tidak ubah seperti karangan pelajar Tahun 6 di sekolah rendah!


“Apa ni cikgu? Suruh buat karangan pasal cita-cita kitorang pulak. Macam sekolah rendah je,” perli Hilmi. Serabut otaknya mendengar latihan tersebut. Macam tak kena je cikgu ni.


“Betullah cikgu. Itu karangan saya pernah buat masa saya darjah 6 wo,” balas Steven yang menyokong Hilmi kerana tidak puas hati dengan tugasan yang diberikan kepada mereka.


“Memanglah kamu rasa karangan tu macam karangan budak sekolah rendah. Tapi pendapat saya, kamu semua sepatutnya sudah tahu apa cita-cita kamu sekarang. Kamu dah masuk aliran sastera ni takkan kamu masih bercita-cita nak jadi doktor, jurutera pulak,” jawab Cikgu Fauzan. Setiap seorang Cikgu Fauzan bertanya apakah cita-cita mereka. Ada yang ingin menjadi penulis, wartawan dan ada juga ingin meneruskan perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga mereka selama ini, tidak lain tidak bukan dia adalah Steven.


Akhirnya, giliran itu tiba juga pada Tiara Dalilah. Dia bangun namun terdiam sejenak sambil menarik mukanya. Tidak lama mukanya kembali berseri sambil tersenyum sendirian.


“Ya, Tiara, apa cita-cita kamu?” soal Cikgu Fauzan.


“Saya nak jadi artis,” jawab Tiara Dalilah dengan yakin. Tidak semena-mena riuh-rendah dibuatnya. Bising benar sebaik sahaja cita-cita tersebut terpacul di bibir Tiara Dalilah.


‘Apa salah ke aku jadi artis?’ ngomel Tiara Dalilah sendirian. Ada juga yang ketawa terbahak-bahak, geli hati dibuatnya. Tapi, tidak bagi Cikgu Fauzan. Dia senyum aje bila Tiara Dalilah beritahu cita-citanya pada satu kelas itu.


“Muka macam babun tak cukup bulan, ada hati nak jadi artis! Dalam mimpilah kau Tia,”perli Hilmi. Johan yang berada di sebelahnya antara orang yang paling kuat ketawanya. Berdekah-dekah pulak tu. Macam tak boleh nak berhenti gayanya!


“Tiara, nak jadi artis pun kena berpelajaran juga tau,” jawab Cikgu Fauzan.


“Tapikan, cikgu. Ada jugak artis tu setakat SPM je dah boleh jadi artis,” balas Steven pula. Pelat bahasa ibundanya masih lagi pekat dan masih boleh didengar dengan jelas.


“Sekurang-kurangnya, kena ada ilmu tinggi di dada ni,” balas Cikgu Fauzan. Bagai memberi kata-kata semangat pula pada Tiara Dalilah. Ermm..ada betul jugak kata-kata cikgu poyo ni. Tapi, walau macam mana sekalipun, dia tetap poyo.


Belumpun sempat tiba di giliran Dayana, loceng menandakan berakhirnya waktu sekolah.


“Okey, jangan lupa dengan kerja rumah saya bagi. Jangan buat-buat lupa pulak masa cuti sekolah ni. SPM tak lama lagi, gunakan masa cuti ni untuk ulangkaji pelajaran. Jangan sibuk nak pergi sana-sini. Selamat bercuti semua,” pesan Cikgu Fauzan kepada semua pelajarnya sebelum beredar.


“Hoho..takde masa aku nak jadi budak skema kali ni. Cukup sekali, mau jugak koma otak aku ni tengok baca satu hari,” bebel Tiara Dalilah sendirian.


Perlahan-lahan saja Tiara Dalilah mengemas semua buku dan alat tulisnya masuk ke dalam beg sandangnya.


“Tia.. cuti ni kau ada program tak? Kalau takde, jom join aku pergi Tambun,” ajak Dayana.


“Alamak, kau dah terlambat nak ajak akulah. Aku dah ada program cuti ni,” jawab Tiara Dalilah sambil berjalan beriringan keluar menuju ke tempat letak basikal.


“Kau nak pergi mana?” tanya Dayana. Tiara Dalilah hanya tersenyum.


“Adalah...”

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template