Saturday, December 13

Falling in Love with You.. Again : 2

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kami sekeluarga menjalani ibadah puasa pada tahun ini tanpa gagal.  Yang membuatkan aku rasa terharu bila melihat Haikal yang baru saja menjalani ibadah puasanya pada tahun ini, nampak begitu bersemangat sekali.  Alhamdulillah, itulah yang aku harapkan dari semua anakku. 
            Seperti rutin biasaku, aku akan berada di dapur untuk menyiapkan juadah berbuka puasa seawal jam lima petang lagi.  Nak sediakan bahan-bahan, sebolehnya, aku tak mahu hidangkan makanan untuk berbuka puasa yang sama ataupun yang hampir sama dengan juadah yang semalam atau yang kelmarin, biar ada kelainan sedikit.
            Sedang sibuk memotong bunga kantan, aku terdengar suara tangisan Mikail dari tingkat atas.  Sudah, apa kena pula dengan budak-budak ni kali ini?  Mesti ada bergaduh rebutkan sesuatu benda, lepastu adik mereka yang jadi mangsa keadaan.  Kaisara dan Haikal ni pantang sikit kalau nampak mainan, mulalah mereka berdua ni berebut tak hengat, si kakak, mentang-mentang dia dah besar, memang tak mahu beralah.  Yang si Haikal pula, dah memang dia anak lelaki, memang pantang untuk menyerah.  Si adik, duduk di tengah-tengah, konon-konon jadi pengaman bagi kakak dan abangnyalah tu.  Dah biasa sangat. 
“Abang, pergi tengok budak-budak tu kejap.  Meen tengah masak ni,” arahku sebaik saja aku memandang Raykal dengan sekilas saja bila dia merebahkan tubuhnya di atas sofa berangkai tiga di ruang tamu.  Riuh-rendah benar bila si Kaisara, Haikal dan Mikail bermain sekali. Memang menguji kesabaran aku betul dengan anak-anak aku ni, dalam bulan puasa pulak tu.  Si Raykal pulak, entah apa yang dia buat kat ruang tamu, takde bunyi menegur budak-budak tu pun.  Ish…. Serabut pulak!
            “Abang!” panggilku lagi.  Nak memasak pun hati tak tenang, jarum jam pun dah menunjukkan hampir 6.30 petang.  Sebaik saja aku memasukkan daun kesum dengan bunga kantan nak masak laksa hari ni, tiba-tiba ada budak menangis lagi.  Sudah!  Tadi dah elok-elok diam, senyap, ni berbunyi balik?
            “Abang!  Cuba tengok siapa yang nangis tu!”  jeritku.  Adui, tak keruan dibuatnya.  Senyap, tiada sahutan pun daripada Raykal.  Aduiii… Tak boleh jadi.  Dari sayup-sayup aku dengar, macam suara Mikail.   Aku mematikan saja api di dapur gas dan berlari ke ruang tamu. 
            Yang buatkan aku geram, si Raykal duk tersengih-sengih aje pada skrin telefon bimbit yang baru dia beli, okey, Blackberry Z3!  Sibuk dengan handphone baru, sampai anak menangis pun takkan tak perasan?!
            “Abang!  Meen suruh tengokkan budak-budak, main handphone je!” marahku pada Raykal, tapi Raykal tetap buat dek je.  Ya Allah, telinga kuali cap Astro ketebalan tahap mana yang dia pakai ni?!  Geramnya aku dah tahap giga dah ni!  Aku biarkan saja, malas nak ambil tau.  Aku berlari naik ke atas sebab aku dengar suara Mikail dari atas.  Aku nampak Mikail sudah kemerahan wajahnya menangis sejak dari tadi.
            “Kakak, apa dah jadi dengan adik ni?” soalku sambil kaki mengalihkan semua barang permainan milik mereka berdua ni yang bersepah di atas lantai.
            “Ekal tadi, main-main kat pintu, tak tau ada adik kat belakang,” tuduh Kaisara.  Budak ni, salahkan adik dia pulak! 
            “Kan ibu dah cakap, jaga adik!  Berapa kali ibu nak pesan?” marahku.  Aku bukan tujukan pada salah seorang daripada mereka berdua, tapi dua-dua sekali.  Sama-sama kepala batu.  Pening kepala dibuatnya, seminggu puasa dah jadi macam ni.  Aku tak tau macam mana nak hadapi lagi beberapa minggu ni, nak marah sangat nanti terbatal pulak puasa ni.
            “Kakak dengan Ekal kemas semua barang mainan ni, masukkan semula dalam kotak.  Satu mainan pun ibu tak nak nampak.  Lepas ni turun bawah, dah nak berbuka dah ni,” arahku.  Aku terus mendukung Mikail bawa turun ke bawah menuju ke ruang tamu.
            “Abang, jaga Mika ni,” pintaku.  Raykal masih lagi bermain dengan handphonenya.  Aku bengang betul, macam aku ni cakap dengan dinding.  Aku meletakkan Mikail di sebelah Raykal.  pun Raykal masih tak perasan lagi!
            “Abang, boleh tak pandang sini kejap?” soalku lagi.  Ni lagi sorang, bapak budak!  Tak faham betul!  Aku rampas handphone yang Raykal pegang dari tadi.  Raykal tersentak, benda yang dia pegang sejak dari tadi sudah tiada di dalam genggamannya.
            “Meen, abang tengah Whatsapp dengan kawan abang, tau tak!” marah Raykal. 
            “Abang ni lebih pentingkan benda alah ni sampai abang tak tau apa dah jadi kat Mika ni!” bebelku, tangan masih lagi memegang telefon bimbit miliknya.  Tangan mencekak di pinggang.  Apa nak jadilah dengan laki aku yang sorang ni.  Sibuk sangat main dengan telefon bimbit dia je sampai anak menangis pun buat dek aje.
            “Bagi balik handphone abang tu,” mintanya sambil menadah tangan nak telefon dia balik, jangan harap!  Tapi, kejap.  Dia dah pandang semacam je kat aku.  Eleh.. kisah pulak Mak Jah ni haa?
            “Meen takkan bagi selagi abang tak jaga Mika tu dulu,” tegasku.
            “Benda macam ni pun Meen nak ambil serius jugak ke?  It’s just a handphone!” bidasnya.  Pulak?  Habis yang dia dok tersengih-sengih kat skrin handphone tu apa?
            “Because it’s just a handphone, abang.  Mika tu anak abang, mana lagi penting?” soalku.  Raykal diam.  Buat muka cemberut dia.  Aku malas nak layan, banyak lagi kerja lain yang aku nak kena siapkan sebelum waktu berbuka puasa ni. 
            “Meen minta tolong abang sekejap je, sebelum waktu Maghrib ni.  Jaga budak-budak, Meen nak siapkan makanan untuk berbuka puasa ni.  Tak lama pun, kurang daripada sejam je lagi.  Tolonglah, bang,” pintaku.  Aku meluru ke dapur dan menghidupkan semula api untuk
            “Baru minta anak sorang jaga, dah buat muka.  Buatlah lagi, buat!  Nak anak ramai sangat, minta tolong jaga sekejap, tak nak!  Main handphone sampai tak hengat, boleh pulak!” bebelku sendirian.
            “Awak cakap apa tadi?!” suara Raykal dari belakangku mengejutkan aku.  Tak sangka pula dia ada kat belakang aku, ikut aku sampai ke dapur sambil mendukung Mikail. 
            “Apa?  Salah apa yang Meen cakap?” balasku pula.
            “Jadi, awak nak kata yang awak tak bersyukur dengan adanya anak-anak ni, macam tu?” soal Raykal pula.  Suara dia dah lain macam, tegas dan agak tinggi.  Aku menarik nafas panjang, aku ni kalau boleh tak mahu ada pertikaian ke, pertelingkahan ke apa, dah nak masuk waktu berbuka dah ni.  Apa pun tak siap hidang lagi.
            “Meen bukan maksudkan macam tu….”
            “Habis tu?  Awak nak kata anak-anak ni menyusahkan awak selama ni?” sedas lagi Raykal bagi kat aku sebelum aku habiskan kata-kataku tadi.
            “Abang…,”
            “Nak kata permintaan saya selama ni memang menyusahkan awak?”
            “Meen letih, Meen mintak tolong tengok anak-anak sekejap je.  Tapi, abang buat dek je, abang dok main dengan handphone abang tu.  Macam Meen ni cakap dengan tunggul je.  Lepas tu, abang cakap macam ni pulak,” balasku.  Aku cuba nak pertahankan perkara yang betul, tapi, takkan dia tak sedar lagi apa yang dia dah buat?  Aku penat panggil, tapi apa yang dia buat tadi?  Aku lalu depan dia, cakap dengan dia, apa yang dia respon?  Aku letakkan Mikail kat sebelah pun ada dia pusing tengok anak dia tengok menangis ke tidak?
            “Habis, abang ni tak letihlah?” soalannya tak sempat aku jawab, pantas Raykal keluar dari dapur.  Raykal meletakkan Mikail di atas sofa semula dan naik ke atas.  Ah, sudah!  Dia buat perangai pulak, orang dah nak berbuka puasa dah ni!  Si Mikail pula terpinga-pinga melihat papanya meletakkan dia semula di atas sofa sambil menggigit belakang tangannya.
            “Abang!”  panggilku.  Aku berpatah balik ke ruang tamu semula, aku nampak Raykal sudah mendaki anak tangga satu demi satu.  Aku dah mulai pening kepala, waktu-waktu beginilah pula dia ni nak buat perangai.  Aduiii!!
            Kurang lima minit aku nampak dia sudah bersiap-siap dengan t-shirt Polonya, berseluar jeans sambil memegang telefon bimbit yang baru saja aku rampas dari dia tadi.  Ah, sudah!  Dia berjalan menuju ke tempat letak kunci, diambilnya salah satu kunci kereta miliknya.  Aku pantas menghampirinya.
            “Abang nak pergi mana ni?” tanyaku pantas menghampirinya, aku cuba untuk menghalangnya.
            “Nak berbuka… kat luar,” jawabnya sambil membetulkan kolar t-shirt, tak pandang muka aku langsung.
            “Tapi, bang.  Kan dah nak masuk waktu berbuka ni.  Tak payahlah nak berbuka kat luar,”  pujukku.
            “Abang!”  panggilanku langsung dia tak endahkan.  Dia terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin kereta tersebut.  Terus saja dia memecut laju keluar dari perkarangan rumah.  Takkan nak kejar pulak, hidu ajelah bau asap kereta dia tu.  Aku… sedih, pedih, sebak sampai hati dia buat macam ni?  Aku bukan salahkan dia sebab perkara tu, tapi, cara dia yang lepas tangan macam tu je.  Tengoklah sekarang ni, walaupun waktu berbuka puasa sudah semakin hampir, dia boleh pergi macam tu aje. 
            “Ibu, papa nak pergi mana tu?  Kenapa papa tak ajak kita sekali?” tanya Kaisara yang baru saja menuruni anak tangga yang terakhir, dia ternampakkan aku yang berdiri di muka pintu rumah.  Air mata yang tanpa aku sedar mengalir di pipi, pantas aku kesatkan, aku tak nak mereka melihat aku menangis.
            “Papa pergi berbuka dekat masjid,” bohongku sambil membawa Kaisara masuk semula ke dalam rumah.
            “Nanti papa balik lagi ke, ibu?” tanyanya lagi.
            “Nanti papa balik lagi.  Dah jom kita masuk, dah nak masuk waktu ni.  Nanti kita makan kurma dan kuih dulu, lepas tu kita solat Maghrib,” ajakku pada Kaisara dan Haikal, mereka berdua menganggukkan kepala masing-masing.  Sebelum aku masuk ke dalam rumah, aku sempat lagi berpaling semula ke luar, mengharapkan Raykal akan berubah fikiran dan berbuka di sini. 
            “Habis, papa tak makan sekali dengan kita ke?  Nanti papa tak solat dengan kita sekali ke?”

            “Tak, sayang.  Papa solat kat sana,” bohongku, aku terpaksa!  Takkan nak bagitau kat diorang yang papa dia berkecil hati dengan aku hanya kerana anak-anak.  

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template