Monday, August 2

Aku Nak Glamour -Prolog-

“DAN pemenangnya bagi Anugerah Pelakon Kontroversi ialah…Tia Delaila!” jerit penyampai anugerah tersebut sebaik sahaja dia membuka keputusan yang telah diundi oleh pembaca anjuran majalah Glamour itu.

Tia Delaila tidak menyangka bahawa dia telah memenangi anugerah tersebut. Dia dengan bangganya melangkah naik ke atas pentas. Gaun malam yang dipakainya memang amat menarik perhatian semua penonton yang menontonnya yang disiarkan secara langsung termasuk di kaca televisyen, radio dan juga internet.

Tia Delaila gumam tidak mampu untuk meluahkan sepatah kata pun. Dia menangis kegembiraan dengan anugerah yang baru sahaja dia terima.

“Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan mengundi saya selama ini. Tak sangka, kontroversi saya dengan Datuk L bukan nama sebenar itu memberi pengaruh yang kuat kepada anda semua untuk mengundi saya. Oh, terima kasih!” ucap Tia Delaila lalu terus keluar melalui belakang pentas.
Di belakang pentas para wartawan sudah sedia menanti pemenang anugerah untuk ditemuramah untuk seketika.

“Tia Delaila, apa perasaan Tia sekarang sebaik sahaja menerima anugerah ni?’ soal salah seorang wartawan yang mengerumuninya ketika itu. Tia Delaila hanya menguntum senyuman barulah dia memberikan jawapannya.

“Saya memang amat gembira kepada semua peminat saya yang sudi mengundi saya di dalam majalah Glamour. Terima kasih saya ucapkan kepada semua. Jasa budi kalian memang saya takkan dilupakan,” jawab Tia Delaila yang menunjukkan trofi yang baru sahaja dia terima kepada semua wartawan.

“Bagaimana hubungan Tia dengan Datuk L bukan nama sebenar sekarang?” soal lagi salah seorang wartawan.

“Oh, hubungan kami masih lagi baik. Dan baru je dia melamar saya untuk menjadi isteri dia yang keempat,” jawab Tia Delaila lagi, senyumannya kini lebih lebar lagi.

“Macam mana penerimaan isteri-isteri Datuk L bukan nama sebenar yang lain terhadap Tia?” soal wartawan lagi.

“Mereka sudi menerima saya seadanya meskipun saya adalah isteri Datuk L yang keempat. Saya…”

“Tia!!!” jeritan itu sekaligus mengejutkan semua yang berada di belakang pentas itu. Tia Delaila terperanjat habis, suaranya amat dia kenal, dia menoleh. Tidak salah lagi, memang dialah orangnya.

‘Aduh, rosak rancangan aku! Macam mana pulak mak boleh ada kat sini ni?!‘ katanya sendirian mencari jalan untuk melarikan diri daripada wanita itu. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Sementara para wartawan sibuk menanyakan soalan yang sama yang mahukan kepastian daripada Tia Delaila. Terbongkok-bongkok dia mencari peluang dan menarik gaunnya ke atas untuk melarikan diri.

“Tia!!!” jerit wanita itu lagi. Tia berlari sambil membawa trofi tersebut di tangan kirinya dan tangan kanan mengangkat kain gaunnya yang labuh itu. Berlari sekuat yang mungkin.

“Tia!!!” jerit wanita itu lagi. Tia langsung tidak pedulikan jeritan tersebut. Sebolehnya dia mahu lari jauh daripada wanita itu. Entah bagaimana pula kasutnya yang setinggi 5 inci itu telah terpijak kain langsir yang entah dari mana datangnya.
Dia terjelopok jatuh. Kasutnya patah, manakala kain gaunnya koyak sedikit. Para wartawan pula sibuk mengambil gambarnya yang sedang jatuh. Trofinya melambung ke atas dan jatuh semula terkena kepalanya.
“Aduh, sakit kepalaku!”


*to be continued*

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template