Thursday, August 12

Bab 4


BISING.  Itu yang mampu dia rasakan sebaik sahaja dia mula membuka mata.  Silau matanya kerana terdapat lampu yang dihalakan ke arahnya, bukan satu tapi terlalu banyak, nyatanya ia bukanlah seperti lampu yang biasa di rumah.  Tetapi lampu suluh!
            ‘Apa ni? Dahlah bising, lepas tu banyak sangat lampu menghala kat aku.  Pening kepala.  Badan pun sakit-sakit,’ bisik hati kecilnya.  Terasa sakit matanya walaupun ia masih lagi dipejam.  Perlahan-lahan dia membuka matanya.  Kaget, terkejut.
            Ramai yang mengerumuninya di sekitar kawasan yang sudahpun menganjak malam.  Pantas dia bangun dan melihat sekelilingnya.  Ramai yang menggelengkan kepalanya.  ‘Apa yang telah terjadi?  Kenapa ramai orang dekat sini?’ soalnya sendirian yang langsung tidak tahu-menahu apa sebenarnya yang telah terjadi.  Baru dia sedari yang dia kini tidak berpakaian.  Terasa ada satu susuk tubuh berada di sebelahnya.  Pantas dia menoleh.  Dania!
            “Cepat pakai baju, bangunkan dia.  Lepas ni, ikut kami pergi surau,” arah salah seorang dari mereka yang berada di situ, dan itulah Imam surau kampung itu.

----------          

“TAPI kami langsung tak buat apa-apa pun,” jawab Faeiz sebaik sahaja mereka disoal kerana berada di hutan yang agak terpencil itu. 
            “Kamu Dania?” soal Imam Haji Hamidi.  Dania yang dari tadi tunduk mula mendongak.  Pantas dia menggeleng.
            “Saya tak kenal pun dia ni, Imam.  Entah siapa, saya tak tahu,” jawab Dania.
            “Kau orang janganlah nak tipu kita orang semua ni.  Bukti semua dah ada.  Ni ha Imam,” kata seorang lelaki yang berada di belakang Imam Haji Hamidi sambil memberikan bukti yang dikatakannya itu.  Faeiz merenung ke arah lelaki itu.  Ya, itulah lelaki yang memukulnya siang tadi!
            “Imam, dia dah perangkap saya.  Saya datang situ cuma nak bawa Dania balik.  Itu saja.  Tapi, dia datang dan terus pukul saya,”  kata Faeiz.
            “Tengok tu, Imam.  Nak mengelakkan dirilah tu, saya pula yang dia tuduh.  Kalau dah buat tu mengaku jelah.  Tak payahlah orang lain yang takde kena-mengena dengan kau pun kau nak babitkan sekali,” kata lelaki itu.
            “Betul, saya tak ada buat apa-apa dengan dia.  Saya datang sana cuma nak bawa Dania balik rumah, itu saja.  Saya sanggup bersumpah, Imam” kata Faeiz.
            “Kamu jangan main-main dengan sumpah, tau!  Apa dia dah tak mampu ke nak balik sendiri sampai kamu pula yang tak ada kena-mengena dengan dia yang nak bawa dia balik? Si Tahir ke yang suruh kamu bawa dia balik ke rumah?” soal Imam Haji Hamidi.  Pada soalan itu Faeiz diam.  Memang abang Dania tidak menyuruh Faeiz mencari Dania untuk dibawa pulang ke rumah.  Dan tidak pula Tahir tahu yang sebenarnya Dania seorang penagih dadah.
            “Hah, kenapa diam? Jawablah!” kata lelaki yang telah memerangkap Faeiz dan Dania.  Faeiz hanya mampu mendiamkan diri.  Tidak tahu apa yang ingin dikatakan lagi.
            “Hah, betullah tu, Imam.  Memang dia saja je nak datang ke tempat tu.  Sebenarnya mereka nak memadu asmara kat situ.  Kononnya tempat tu tersorok, tak ada orang nampak,” kata lelaki yang cuba mencucuk jarum terhadap Imam Haji Hamidi.  Nampaknya hasil cucukannya menjadi, Imam Haji Hamidi sudah mulai terpengaruh dengan tipu helah lelaki tersebut.
            “Imam, tak payahlah nak fikir-fikir lagi.  Bukti ni pun dah ada.  Sekarang ni, terpulang pada Imam dan orang-orang kampung yang ada kat sini nak buat apa dengan mereka berdua.  Kalau saya, saya sebat setiap seorang 100 kali,” kata lelaki itu.  Lagaknya tidak ubah seperti orang yang kuat pada pegangan agamanya.  Jelak benar rasa Faeiz melihat lelaki yang berada di belakang Imam Haji Hamidi yang tak habis-habis mencucuk jarum sebanyak yang mungkin.  Yang penting, Imam Haji Hamidi percaya akan semua kata-kata lelaki itu, memandangkan foto-foto yang diberikan itu sudah tidak boleh disangkal lagi.
            “Yang sebat tu, terpulang kepada keluarga mereka ni, Malim.  Macam mana ni, tok?” soal Imam Haji Hamidi.  Dia kurang bersetuju dengan cadangan lelaki yang telah memerangkap Faeiz dan Dania yang bernama Malim itu dengan hukuman sebat.  Baginya hukuman itu adalah lebih baik dilakukan oleh keluarga masing-masing.
            “Macam nilah, kami kat sini kalau boleh tak mahu keluarga kamu malu.  Kalau kamu tidak nikah, perkara ni takkan selesai.  Orang kampung takkan tutup mulut.  Mana-mana kamu pergi mesti akan ada perkara yang tak sedap didengar.  Lebih baik kamu dinikahkan aje,” kata Pak Kadir, ketua kampung tersebut.
            “Jali, suruh Tahir datang ke surau sekarang juga.  Kita nak nikahkan adik dia dengan budak lelaki ni,” kata Pak Kadir kepada salah seorang penduduk kampung yang berada di surau itu.

----------

“BUAT malu aku je tau tak!  Mana aku nak letak muka aku ni?!” herdik Tahir sebaik sahaja upacara ringkas akad nikah Dania dan Faeiz selesai.
            “Aku takde buat apa-apa dengan dia pun!  Aku pun tak tahu macam mana dia boleh ada kat situ.  Kalau aku tahu dia ada kat situ, dah lama aku balik,” kata Dania.
            “Baru ingat nak balik?! Baru sekarang, dah jadi macam ni, baru ingat nak balik?!  Bila ada benda penting nak balik pulak!  Apa kau ni ha?  Kau ingat rumah tu apa? Suka hati nak balik bila-bila?!”  tengking Tahir.  Tidak habis-habis dia memukul Dania, menyesal sungguh dia mengenangkan perbuatan adiknya itu.  Dania hanya mampu diam. 
            “Apa yang kau buat sampai pagi-pagi baru nak balik ha?!  Kau melacur ke ha?”soal Tahir.  Dia terus menolah kepala Dania, sekuat hatinya.  Dania mendongak semula.  Sakit juga kepalanya akibat ditolak oleh Alongnya itu.
            “Mintak-mintak dijauhkan, aku tak pernah buat macam tu, Long!” balas Dania.  Airmata Dania tak habis mengalir lagi.
            “Habis tu, apa? Yang kau sampai kena tangkap ni kau buat apa?! Main guli?  Main batu seremban?  Berapa banyak lagi yang kau nak bohong dengan aku?!” perli Tahir.  Dania tunduk lagi sekali.
            “Aku minta maaf, Long.  Aku banyak buat salah dengan kau.  Aku...”
            “Dahlah.  Tak payah nak minta-minta maaf.  Kau ingat dengan minta maaf boleh selesaikan masalah ke? Kau ingat dengan minta maaf, orang-orang kampung boleh tutup mulut diorang? Cukuplah, aku dah tak nak tanggung malu lagi.  Cukuplah setakat ni kau malukan aku,”  kata Tahir.  Dania terpana.  ‘Apa sebenarnya? Takkan...’
            “Along..”
            “Lebih baik kau jangan tunjuk muka kau lagi kat kampung ni.  Pergi kau dari sini.  Kau bukan lagi adik aku.  Aku tak ada adik yang bernama Dania Ahmad Tajudin,” kata Tahir.  Dania terpempan.  ‘Kau bukan lagi adik aku,’
            “Along! Jangan buat aku macam ni...Aku ni adik Along.  Aku minta maaf, Long.  Aku janji aku tak buat lagi.  Tapi jangan buat macam ni.  Along!” rayu Dania sambil memegang lengan Tahir.
            “Pergi aku kata, pergilah!  Aku bukan abang kau lagi!  Pergi!”  tengking Tahir dan menolak Dania lalu dia terus menutup pintu rumah itu.             “Ermm..Dania...,” panggil Faeiz.  Dania langsung tidak menghiraukan kehadiran Faeiz yang cuba tenteramkannya.  Dia masih terus menangis. 
            Faeiz memandang lagi sekali ke rumah itu.  Kelihatan Kamelia sedang melihat mereka berdua dari tingkap.  Dia juga turut menangis.  Tidak lama, dia terus pergi begitu saja, mungkin disuruh oleh Tahir agar jangan melihat mereka berdua di luar.
            “Buat apa kau tengok-tengok lagi tu kat luar?  Biarkan mereka kat situ!” herdik Kamelia.  Pantas Kamelia masuk ke dalam biliknya dan terus menangis.  Melihat Tahir masuk ke dalam bilik Dania, Kamelia mengikuti abangnya itu, cuba menenangkan amarah abangnya yang kian memuncak.
            “Along..” rayu Kamelia.
            “Kau jangan masuk campur, Ngah.  Nanti, dengan kau-kau sekali aku halau,” arah Tahir lalu mengangkat semua kain baju Dania dan beg galas adiknya itu.  Dia keluar semula membawa pakaian itu lalu dicampaknya keluar dan ada juga yang terkena muka Dania yang masih lagi terduduk di hadapan pintu rumah itu. 
            “Pergi dari sini!  Aku tak nak tengok muka kau lagi!  Berambus!”  marah Tahir.  Kamelia hanya melihat dari belakang.
            “Along..Angah..Tolong aku, Ngah,” rayu Dania yang memandang ke arah Kamelia.  Kamelia hanya mampu menangis. 
            “Masuk, Ngah!” marah Tahir, Kamelia tidak mampu nak berbuat apa lagi.  Dia hanya menurut kata-kata Tahir.  Tahir terus menghempaskan pintu utama rumah tersebut, bergegar juga dibuatnya. 
Yang tinggal hanya Dania yang sedang terduduk menangis dan Faeiz yang menyaksikan kejadian itu tidak sampai pun 5 kaki dari tempat Dania. 
            “Sudahlah tu, Lia.  Benda dah jadi pun,”  tegur Sufian yang cuba menenangkannya.
            “Lia tak sampai hati, bang.  Walaupun dia perangai macam tu, Lia tak sampai hati tengok dia macam tu.  Lia tak pernah mintak benda macam ni yang akan jadi.  Dia tetap adik Lia, bang.  Darah daging Lia,”  kata Kamelia sambil menangis teresak-esak.
            “Tapi Allah dah tentukan jalan hidup dia begitu, Lia.  Kita berdoa sajalah yang dia akan berubah selepas ni.  Mungkin si Faeiz tu bakal merubah dia kepada yang lebih baik.  Kita tak tau apa yang akan terjadi.  Semua sudah tertulis.  Apa yang kita mampu, hanya terima dengan hati yang terbuka.  Kita kena redha,” kata Sufian.  Kamelia terus memeluk suaminya.

-------------

“TAK guna kita duduk di sini lagi, Dania.  Bangunlah.  Walau macam mana sekalipun awak kena ikut saya,” kata Faeiz.  Dania tetap berdegil.  Dia mengharapkan bahawa Tahir akan berubah fikiran dan menerimanya kembali. 
            “Lepaslah!  Ini semua kau punya pasal.  Kalau kau tak datang kat port aku, tentu aku tak jadi macam ni,” marah Dania.
            “Benda dah jadi, kita tak boleh nak patah balik lagi.  Lagipun, aku memang tak ada remote yang boleh rewind peristiwa” pujuk Faeiz.
            “Benda ni takkan jadi kalau kau ada kat situ, tau tak?!” tengking Dania lalu bangun dan menjauhkan diri daripada Faeiz.
            “Sekarang ni, walau macam mana pun awak nak nafikannya, awak sekarang dah jadi isteri saya,” kata Faiez.
            “Siapa nak jadi bini kau ha?! Mati hidup balik pun, aku tak ingin nak jadi bini kaulah!” balas Dania.
            “Terpulanglah, tapi kenyataannya sekarang kita dah tak macam dulu.  Awak masih mahu duduk sini lagi ke?  Awak mahu tebalkan muka awak tu ke setiap kali awak berjalan ke sana-sini dan orang kampung dan keluarga awak sendiri akan caci-maki awak?” soal Faeiz.  Dania terus membelakangkan Faeiz.  Diam.  Geram sebenarnya bila dia ditakdirkan sebegitu.  Lama Dania berfikir untuk membuat keputusan yang mana perlu, adakah dia masih mahu tinggal di kampung ini ataupun mengikut Faeiz yang juga kini sudahpun menjadi suaminya kini.
            “Okey, terpulang pada awaklah.  Awak boleh ikut saya balik Kuala Lumpur.  Awak juga boleh terus tinggal di rumah awak ni, kalau awak sanggup tahan dengan cemuhan orang kampung dengan lebih teruk sebab saya tidak ada bersama awak.  Awak pilihlah,” kata Faeiz.  Dania berfikir.  Lama Faeiz menunggu untuk mendapatkan jawapan daripada Dania. 
            “Kalau awak masih tetap nak dekat sini, baiklah.  Saya akan pergi dan tak akan jumpa awak lagi.  Anggaplah kita ni tak ada ikatan apa-apa pun,” kata Faiez.  Dania masih lagi kaku di situ.  Tinggal di sini atau ikut dia?
            Faeiz terus melangkah keluar dari laluan rumah Tahir dan masuk ke dalam kereta.
            “Faeiz!”

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template