Monday, August 9

Bab 2

MALAM ITU BEGITU TENANG. Namun suasana yang tenang itu tidak dapat menenangkan hatinya. Maklum sahajalah, terpaksa bermalam di rumah kliennya kerana sikap salah seorang ahli keluarganya buat hal. Dimarahi kakak, dia pula yang menjadi habuan untuk melepaskan geramnya. Keempat-empat tayar keretanya telah dipancitkan. Geram juga Faeiz bila mendengar tuduhan itu, namun dia sepatutnya tidak terpengaruh dengan kata-kata Tahir petang tadi. Mungkin juga orang lain yang melakukannya, siapa yang tahu?

Dia membuka tingkap supaya angin malam dapat masuk ke dalam bilik tamu rumah keluarga Tahir, dengan adanya angin tersebut dapatlah dia menenangkan dirinya dan menyambung semula tidurnya yang sudah terganggu dek kerana terlalu berfikir pelbagai perkara. Tiba-tiba sahaja tekaknya berasa dahaga dan ingin ke dapur untuk mengambil minuman.

Baru sahaja dia membuka pintu bilik, terdengar bunyi pintu yang sememangnya dari ruang tamu. Dia mula rasa gementar, kerana dia tahu di ruang tamu tiada pintu bilik lain selain pintu masuk ke rumah itu. Barangkali ada seseorang yang cuba menceroboh masuk ke rumah itu. Dia cuba mencari apa sahaja dengan harapan dia dapat memukul penceroboh itu daripada mencuri barang-barang dalam rumah itu. Perlahan-lahan dia berjalan untuk menghampiri penceroboh itu. Hanya kelibat hitam yang kelihatan, kurus dan dia menuju ke dapur.

‘Ni pencuri mesti penagih dadah, kurus semacam je,’ bisik hati kecilnya. Dia sebenarnya agak takut untuk melakukannya tapi terpaksa memberanikan diri untuk melakukannya.

Pencuri itu membuka pintu peti sejuk mengambil satu botol minuman. Mungkin untuk menambahkan tenaganya untuk mengangkut kesemua barang berharga di dalam rumah ini barangkali. Kesempatan ini tidak boleh Faeiz sia-siakan begitu sahaja. Sebaik sahaja dia mendapat batang penyapu yang terletak betul-betul pintu masuk dapur, senyap-senyap tanpa diketahui oleh pencuri itu, dia pantas menyentap batang penyapu itu pada leher pencuri itu. Pencuri itu menjerit kesakitan kerana dicekik oleh Faeiz dengan menggunakan batang penyapu.

“Hah, ini rupanya kerja kau ya? Mencuri harta barang orang? Banyak-banyak kerja kerajaan bagi, kerja ni jugak yang kau nak buat! Cepat cakap, mana lagi geng kau atau kau sorang je? Tak takut mati ke ha?!” marah Faeiz. Pencuri hampir tiada daya untuk berkata kerana tenaga Faeiz yang terlalu kuat, melemahkan dia untuk menjelaskan tujuan sebenarnya.

“Hoit…le..lepas..lah! S..sak..kit..tau tak!” rayu pencuri itu tersekat-sekat. Rayuan itu tidak diendahkan oleh Faeiz, malah ia semakin kuat.

“K..kau..n..nak s..suruh a..ku..ku mati ke..ke?” rayu lagi pencuri itu yang kini sudah mulai lemah. Dalam kegelapan itu Faeiz masih lagi tetap dengan pendiriannya. Dia tidak akan melepaskan pencuri itu begitu sahaja.

Pertelingkahan antara Faeiz dan pencuri itu menyedarkan penghuni di dalam rumah itu. Tahir dan Sufian pantas membuka lampu seluruh rumah untuk menyaksikan apa yang telah terjadi pada rumah tersebut. Mereka terus ke ruang dapur dan melihat Faeiz sedang bergelut dengan Dania yang disangka Faeiz pencuri.

“Faeiz apa ni? Nia?” soal Tahir kebingungan melihat kejadian antara adiknya dan Faeiz di ruang dapur. Mereka saling berpandang-pandangan antara satu sama lain.

Faeiz kaget. Bagai mahu jatuh jantungnya bila orang yang disangkanya pencuri itu sebenarnya Dania, adik Tahir. Faeiz perlahan-lahan melepaskan Dania. Faeiz menyesal kerana bertindak terburu-buru. Dania terbatuk-batuk dan berasa amat lemah kerana bergelut dan dicekik oleh Faeiz sebentar tadi. Dia terduduk di tepi peti sejuk.

“Maafkan saya. Saya ingatkan tadi pencuri. Saya nampak dia tadi masuk rumah macam pencuri, sebab tu saya tangkap dia,” kata Faeiz.

“Agak-agaklah nak cekik orang tu. Sakit tau tak, main sergah je,” marah Dania sambil memegang lehernya yang sakit akibat dicekik oleh Faeiz tadi. Tahir menghampiri Dania lalu memukul kepala Dania.

“Kau tu pun satu. Waktu-waktu macam ni baru nak balik. Macam mana orang tak ingat kau ni pencuri. Masuk rumah pun terhendap-hendap,” marah pula Tahir. Dania mengusap-usap kepala yang telah dipukul oleh abangya itu.

‘Aduh, kena lagi! Hangen betul aku!’

“Habis tu, takkan nak buka semua lampu kat rumah ni, lepas tu jerit kasi satu rumah ni dengar yang aku ni dah balik?!” tempelak Dania pantas bangun dan menuju ke biliknya. Niat di hatinya untuk menghilangkan dahaga di tekaknya terpaksa dilupakan. Begitu juga dengan Faeiz.

Sewaktu Dania melangkah masuk ke bilik, Faeiz menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena padanya. Wajahnya kelihatan kusut dan tidak bermaya. Bukan seperti keletihan. Matanya pun sembap semacam je. Kurusnya juga tidak seperti kurus yang biasa. Apa yang dia perasan juga, ada kesan cucukan jarum di lengannya dan nampak seperti baru saja dicucuk. Gaya jalannya dan tidak sama seperti dilihatnya pada siang tadi. Aku mesti siasat!


-----------


“ALHAMDULILLAH, selesai semuanya. Semua tayar dah pun diganti,” ucap Tahir setelah mereka selesai menukar tayar kereta Faeiz. Kerja itu juga dibantu oleh dua orang pekerja di kedai mekanik yang sanggup untuk membantu Faeiz. Pantas Faeiz mengeluarkan beberapa keping not RM50 dari dompetnya lalu diberikan kepada pekerja-pekerja mekanik tersebut sebagai upah memasang tayar keretanya.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada Faeiz dan terus mengemaskan barang-barang serta membawa tayar yang sudah tidak digunakan ke dalam kenderaannya dan terus beredar.

“Terima kasihlah sebab bagi saya tumpang rumah encik sekeluarga malam tadi. Nah, ini ada sikit saya nak bagi,” ucap Faeiz sambil mengeluarkan lagi beberapa keping not RM50 kepada Tahir. Tahir menolak pemberian Faeiz dan menggelengkan kepalanya.

“Saya tak boleh terima, terima kasih sajalah,” kata Tahir.

“Encik Tahir dah banyak tolong saya. Saya rasa bersalah pulak kalau saya tak beri apa-apa pada Encik Tahir sekeluarga dan tak diterima. Ambillah buat belanja dapur. Saya takut termakan budi,” kata Faeiz sambil menghulurkan wangnya itu dengan penuh ikhlas dan senyuman. Tahir pula rasa bersalah jika tidak diterima, kerana Faeiz begitu ikhlas memberinya.

“Buat susah-susah je,” balas Tahir.

“Tak ada yang susahnya. Lega hati saya kalau Encik Tahir terima, sebab encik dah banyak tolong saya sejak semalam lagi,” ujar Faeiz.

“Terima kasihlah, Faeiz,” ucap Tahir.

“Kalau begitu, saya bertolak dululah ye. Kirim salam kat semua,” balas Faeiz sambil bersalaman dengan Tahir sebagai tanda perpisahan. Perpisahan untuk sementara kerana dia akan kembali semula ke rumah tersebut untuk pembacaan wasiat arwah Encik Ahmad Tajudin tidak lama lagi.

Faeiz terus masuk ke dalam kereta BMWnya dan menghidupkan enjin. Pada masa yang sama motor Dania turut keluar dari laluan rumahnya itu dan memecut laju dan hampir-hampir saja melanggar abangya sendiri. Kelihatan dia membawa seakan terhoyong-hayang tidak seimbang tunggangannya pada awalnya dan kejadian itu turut mengejutkan Faeiz yang sedang memundurkan keretanya.

Apa yang membuatkannya tergesa-gesa sehingga sanggup menunggang motornya dalam masih lagi tidak seimbang dan hampir-hampir saja melanggar Tahir. Faeiz harus tahu punca-puncanya. Dia terus memecut laju sebaik sahaja dia meninggalkan kawasan rumah Tahir dan mengekori Dania dari belakang, agak jauh supaya tidak dikesan oleh Dania bahawa dia sebenarnya sedang diekori.

Faeiz terus mengekori Dania dari belakang sehingga tiba di suatu simpang tiga, di mana Dania memberhentikan motornya betul-betul di sebelah kanan jalan tersebut. Apa yang ingin dilakukan oleh Dania, Faeiz sendiri kurang pasti. Dia turut memberhentikan keretanya lebih jauh dari tempat Dania bimbang Dania menyedari akan kehadirannya di situ. Hampir 10 minit Faeiz menunggu tindakan Dania seterusnya, akhirnya tiba seorang lagi penunggang motosikal dari arah bertentangan dengan Dania. Mereka berbual dan perlakuan mereka seolah-olah rakan Dania itu memberikan sesuatu dan Dania turut menerimanya. Pandangan mata mereka liar memandang ke tempat lain dan tidak tetap, mungkin tidak mahu orang lain akan nampak mereka.

Faeiz hanya terus memerhati sehinggalah mereka berpisah dan mengikut haluan masing-masing. Namun begitu, Dania tidak berpatah balik untuk pulang, sebaliknya dia terus mengikuti jalan yang dilaluinya itu sehingga tiba di penghujung jalan itu. Faeiz masih terus mengekorinya, ingin benar tahu apa yang ingin dibuat oleh Dania selepas ini.

Mereka akhirnya tiba di penghujung jalan, di mana mereka sudahpun bertemu jalan mati yang hanya dikelilingi dengan hutan belukar. Dari situ kelihatan terdapat laluan kecil sama seperti laluan rumah Dania tetapi keadaan kawasan tersebut amat berbeza daripada kawasan masuk ke rumah Dania sendiri.

Sekali lagi Faeiz terpaksa memberhentikan keretanya di situ dan berjalan kaki untuk mengekori Dania yang sudahpun jauh ke hadapan. Apa yang penting, Faeiz hanya berjalan mengikuti lorong yang sudahpun sedia ada di situ. Terasa seperti sudah hampir tiba ke destinasi yang dituju, pantas Faeiz bersembunyi di sebalik pokok supaya tidak diketahui oleh sesiapapun yang berada di situ termasuklah Dania.

‘Bersepahnya! Apa ni? Tak mungkin dia...’ bisik hati Faeiz sendirian. Berkerut-kerut dia melihat kawasan yang bersepah dengan pelbagai sampah di sana-sini. Kelihatan Dania mengeluarkan sesuatu lalu dibukanya.

“Dia hisap dadah ke? Astaghfirullahalazim, apa nak jadi ni?” kata Faeiz sendirian dengan perlahan setelah dia melihat Dania sedang leka mencucuk jarum pada lengannya. Setelah itu dia menghisap sesuatu di dalam botol dengan menggunakan tiub. Bagaikan melepaskan giannya, Dania terus berasa lega, dan terus bersandar pada pokok, dia sudah khayal dengan dunianya sendiri.

‘Aku tak boleh lama-lama kat sini, nanti ada pulak yang lain datang. Tak pasal-pasal aku pulak yang kena,’ jerit hatinya mendesak supaya Faeiz cepat pergi dari tempat itu dan pulang sahaja.

Faeiz nekad ikut kata hatinya, dia terus pergi dan sebolehnya dia ingin lari dan tidak mahu ada di kalangan rakan-rakan Dania dapat mencium kehadiran Faeiz. Pantas dia terus masuk ke dalam kereta BMWnya dan memandu ke jalan yang sepatutnya.

‘Aku perlu bantu dia!’

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template