Wednesday, August 4

Bab Satu



TIA!!!” jerit Puan Madihah. Geram rasanya terhadap anak perempuannya yang seorang itu masih lagi belum-belum bangun meskipun waktu sudah menganjak ke pukul 7 pagi. Sekolah akan bermula pada pukul 7.30 pagi. Perjalanan ke sekolah memanglah tidak mengambil masa yang lama, tapi sudah pasti dia akan terlambat lagi ke sekolah, sudahlah bersiap macam tuan puteri.

“Mantaklah dia mak. Hari-hari bangun lambat. Hari-hari datang lambat. Dahlah, Yus pergi dulu,” kata Yusri sebaik sahaja selesai bersarapan pagi lalu mencapai beg sekolahnya lalu mengucup tangan ibunya itu.

Yusri mengalihkan basikalnya dan terus mengayuh menuju ke sekolah. Sementara Puan Madihah masih lagi memanggil-manggil anak perempuannya itu. Masih lagi geram, panggilan itu tidak dijawab, dia kemudian naik ke atas menuju ke bilik anak perempuannya itu.



TIARA Dalilah mengusap-ngusap kepalanya. Macam manalah mimpi boleh sampai jatuh katil pulak ni. Ni..ni..kena pulak dengan jam loceng ni. Aduh! Aku ingat aku kat majlis anugerah bintang-bintang ke apa. Trofi aku jatuh kena kat kepala aku.

“Tia!!” jerit seseorang dari tingkat bawah.

“Sah, mak rupanya yang panggil aku. Aduh, kenapa pula mak potong stim dalam mimpi tadi. Kalau tak ada suara mak, mesti mimpi tu berjalan dengan lancar,” katanya sendirian sambil mengusap-usap kepalanya yang masih sakit itu. Dia mengambil jam locengnya yang sudah sedia di sebelahnya.

“Alamak, dah pukul 7! Mati aku!” jerit Tiara Dalilah pantas dia bangun dan mengambil tuala untuk bersiap-siap. Dia bersiap ala kadar sahajalah nampaknya. Dia menarik sahaja baju kurung, kain dan tudungnya yang sudah siap tergantung di tepi pintu.

“Tia!!” panggil Puan Madihah sambil mengetuk pintu bilik itu.

“Ye mak!” balas Tiara Dalilah yang terkocoh memakai stokin sekolahnya.

“Apa lambat sangat ni? Dah pukul berapa dah ni?! Cepat sikit siap, nanti lambat,” arah Puan Madihah, dia kemudian turun semula lalu mengambil briefcasenya yang sudah sedia terletak di tepi sofa ruang tamunya.

“Mak Kiah, nanti lepas Tia dah pergi sekolah, Mak Kiah kunci semua pintu tau. Sekarang ni macam-macam kes berlaku,” pesan Puan Madihah sambil membuka pintu keretanya. Orang gaji rumah tersebut, Mak Kiah mengangguk tanda menurut arahan yang diberikan oleh Puan Madihah.

Pada masa yang sama, Tia Dalilah terkocoh-kocoh turun dari tangga, dan hampir-hampir saja terjatuh. Pantas dia mengambil sekeping roti dan minum sedikit Nescafe yang sudahpun terletak di atas meja makan itu. Digigitnya sahaja roti itu, dia akan makan roti itu sepanjang perjalanannya ke sekolah nanti.

“Mak!” jerit Tia Dalilah yang berlari menuju ke hadapan untuk memakai kasut. Dia berharap ibunya itu menghantarnya di saat-saat genting ini. Tinggal kurang daripada 10 minit lagi sekolah akan memulakan pembelajarannya. Tak dipeduli apa yang dipakainya, dia sarungkannya sahaja, janji dia pakai kasut.

“Mak!” jerit Tia Dalilah lagi, namun tidak didengar oleh Puan Madihah, ibunya terus sahaja memandu keluar dari ruang tempat letak kereta rumah banglo itu dan memecut laju keretanya. Tia Dalilah tidak sempat untuk memanggil ibunya lagi. Mahu atau tidak terpaksalah dia mencapai basikalnya yang berwarna merah jambu itu ke sekolah.

Dia terus mengayuh dengan laju basikalnya sambil tangan kanannya menyuapkan roti ke dalam mulut. Laju benar dia mengayuh. Ah, janji sampai sebelum kelas mula.

Dipotongnya semua kenderaan yang berada di sebelahnya termasuk juga motosikal.

“Huihh..ni basikal ke motor racing?” soal penunggang motosikal itu sendirian. Ternganga juga dia melihat Tia Dalilah memotongnya dengan hanya menggunakan basikal.


LOCENG sudahpun berbunyi sejak dari tadi sebelum Tia Dalilah tiba di sekolah. Aduh..lambat lagi. Perasan tiada sesiapa yang berada di pintu pagar, dia pantas meletakkan basikalnya di tempat letak basikal. Dikuncinya pada tayar basikal. Pantas dia memusingkan badannya dan ingin berlari masuk ke dalam kelas, tapi tidak sempat.

Seorang lelaki yang segak berpakaian kemas berwarna biru. Berseluar biru hitam, berkasut hitam. Memakai tali leher berwarna biru hitam yang mempunyai lambang sekolah di tali leher tersebut. Memakai cermin mata tebal sambil memegang buku nota kecil dan pen.

“Nama?”

“Tia Delaila,”

“Tak habis-habis kau nak menipu aku, eh? Sudahlah kau Tiara Dalilah binti Abdul Razak. Tak usah nak berangan jadi Angelina Jolie ke, Erra Fazira kat sini!” marah lelaki yang bernama Shahrul Affendi itu.

“Alah, dasar kaki bodek cikgu. Menyampah aku,” marah Tiara Dalilah pula. Dia berdiri sahaja di situ menanti hukuman yang seterusnya daripada pengawas yang bertugas itu.

“Eh, kau tu yang selalu menyusahkan aku tau tak. Kau tau, mangkuk-mangkuk jenis macam kau nilah yang menyusahkan orang. Dahlah datang lambat. Kau tengok kaki kau tu. Kau tengok,” marah Shahrul Affendi pula sambil menyondol kepala Tiara Dalilah ke bawah.

“Aku tau lah kau nak glamor, vogie de vass kan. Agak-agaklah sikit. Ni sekolah, bukannya Grammy Award. Ada faham!” marah Shahrul Affendi.

‘Aiseymen..macam mana aku boleh pakai kasut lain-lain pulak ni,’ bisiknya sendirian sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebelah kasut sekolah, sebelah lagi kasut yang bertumit tinggi. Masakan dia boleh tidak perasaan, patutlah dia rasa jalan macam orang kurang upaya je.

“Bukak kasut tu, kau pakai ni,” arah Shahrul Affendi lalu mencampakkan terompah jepun kepada Tiara Dalilah. Mahu atau tidak, dia tidak boleh menolak, terpaksa dia mengambil terompah itu. Nampak gayanya satu hari ini dia akan memakai terompah jepun.

‘Malunya aku, kenapa aku perlu pakai terompah jepun pulak. Ish, ni gara-gara mimpi tu punya pasallah. Datuk L bukan nama sebenarlah, isteri yang keempat pulak tu! Hawau punye mimpi. Apa punya malang betul nasib aku hari ni!’


RIUH rendah betul kelas 5 Sastera 2 itu sebaik sahaja Tiara Dalilah masuk ke kelas. Mujurlah Cikgu Fauzan belum masuk lagi ke dalam kelas. Jika tidak, sudah tentu dia menjadi bahan eksperimennya.
Dengan apa yang ada sekarang ini pun sudah cukup menyakitkan hatinya.

Tiba-tiba sahaja salah seorang rakan kelasnya, Hilmi datang ke arahnya sambil berjalan dengan gaya orang jepun. Sengaja diseret-seretkan kasut dan jalan terkepit-kepit di hadapan Tiara Dalilah lalu menunduk hormat cara jepun.

“Ohayo Gozaimas...” ejek Hilmi, semua pelajar bersorak, tidak kurang juga yang mentertawakan Tiara Dalilah.

Bengang dibuatnya, dia terus sahaja mendapatkan tempat duduknya di bahagian belakang. Dia merenung tajam ke arah Hilmi.

“Derr..orang jepun mana datang ni derr?” soal Johan sambil menepuk-nepuk mejanya. Geli hatinya melihat Tiara Dalilah begitu.

“Biarkan aje diaorang tu, Tia. Macamlah kau tak kenal diaorang tu macam mana,” kata Dayana.

“Tak ape, tak ape aku try,” kata Steven, pelajar cina yang tidak kurang nakal juga dek kerana pengaruh kumpulan Hilmi dan Johan.

“Hello, miss. What is your name?” ejek Steven. Tiara Dalilah mendengus, dipandangnya Steven.

“Kau orang boleh diam tak?” ugut Tiara Dalilah.

“Aiya, Mi, Jo. Ini olang jepun pandai cakap bahasa Melayulah,” jerit Steven sambil tergelak-gelak bersama rakan-rakannya itu.

Belumpun sempat habis menyakat Tiara Dalilah, Cikgu Fauzan pun masuk ke dalam kelas. Wajahnya tenang sahaja, namun ia mampu mencairkan semua pelajar perempuan yang ada di dalam kelas itu pada masa ini.

“Alamak, cikgu hensem aku dah masuk. Cair lagilah aku kali ni,” kata Dayana sambil tersenyum sendirian. Kesemua pelajar bingkas bangun beri ucapan hormat kepada guru muda tersebut. Wajahnya yang persis Fizo Omar itu sudah cukup membuat semua wanita tergoda, namun tidak bagi Tiara Dalilah.

Jelak rasanya bila guru itu masuk, sudah semestinya dia bakal dijadikan bahan eksperimennya tidak lama lagi. Menjadi alat untuk menyampaikan apa jua puisi, cerpen, yang berkaitan dengan matapelajaran Sastera Melayu.

“Saya minta maaf lambat masuk sebab tadi ada mesyuarat tergempar,” mohon Cikgu Fauzan kepada semua pelajarnya.

“Tak apalah cikgu, hari ni bukan cikgu sorang je yang masuk lambat. Ada orang lain tu pun datang lambat jugak,” jawab Hilmi sambil memandang sinis ke arah Tiara Dalilah yang berada di barisan belakang. Tiara Dalilah memberi isyarat kepada Hilmi. Geram rasanya dengan tindakan Hilmi itu.

“Oh ye ke? Tak apalah, yang penting dia taklah ketinggalan pelajaran,” jawab Cikgu Fauzan dengan penuh tenang. Dia sudah tahu siapa yang Hilmi maksudkan itu. Pantas sahaja matanya memandang ke arah Tiara Dalilah sambil menguntum senyuman. Tiara Dalilah melemparkan pandangannya ke padang sekolah.

“Alamak, Tia. Dia senyum kat aku. Makin bekerja keraslah nampaknya aku untuk subjek ni nanti,” bisik Dayana ke Tiara Dalilah. Dayana sudah angau dengan cikgu tersebut.

“Jangan haraplah,” marah Tiara Dalilah.

“Ala, aku tau. Kau tu jealous dengan aku,” balas Dayana yang sangkanya Tiara Dalilah mencemburui Dayana.

“Eeww.. tolonglah! Tak ada masa aku nak jealous kat kau,” balas Tiara Dalilah.

“Tiara, cantik kasut awak hari ni, eh? Awak beli kat mana?” soal Cikgu Fauzan. Tiara Dalilah hanya diam. Yang lain pula bergelak sakan. Cikgu Fauzan hanya tersenyum lalu meneruskan pelajaran yang telahpun tertangguh semalam.

0 comments:

 
|Saye,Dia,Mereka,Semua| Blogger Template by Ipietoon Blogger Template